Khamis, 2 Februari 2012

Karnival GiatMara Oleh Siti Juliana Mohd Johar am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Berikutan sambutan menggalakkan yang diterima tahun lalu, Pusat Giatmara Wilayah Persekutuan sekali lagi menganjurkan Karnival Produk Kemahiran GiatMara Wilayah Persekutuan 2011 (KPKGWP 2011) di Ruang Legar Medan Mara.

Karnival tiga hari bermula semalam sehingga esok mengetengahkan produk serta perkhidmatan yang diusahakan sendiri, membabitkan penyertaan 345 pelajar Pusat Giatmara sekitar Kuala Lumpur merangkumi 11 kursus pengajian. Pengurus Besar Giatmara Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi KPKGWP 2011, Nurul Azimah Mohd Ani berkata, penganjuran acara seperti itu amat digalakkan kerana ia memberi pengalaman baru kepada pelajar memperkenalkan produk mereka, selain belajar secara praktikal cara menjadi usahawan berjaya serta kemahiran komunikasi untuk menarik pelanggan. “Kami mengharapkan penganjuran kali ini akan mencapai sasaran RM50,000 kutipan jualan selama tiga hari ini kerana pada tahun lalu sebanyak RM43,000 berjaya dikumpulkan pada karnival sama. “Bagaimanapun perkara itu bukanlah menjadi keutamaan kami. Apa yang lebih penting ialah pelajar didedahkan dengan dunia sebenar keusahawanan, selain hanya belajar secara teori di dalam kelas dalam usaha Mara melahirkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya. Perasmian karnival itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Mara (Keusahawanan), Mohd Rosdi Ismail dengan dihadiri Ahli Majlis Mara, Datuk Ariss Samsudin serta Ketua Pegawai Eksekutif Giatmara, Meriyam Abd Majid. Sementara itu, pelajar jurusan fesyen dan pembuatan pakaian, Nurul Ainur A Ramlee, 26, berkata, pembabitan dia dan tiga lagi rakan yang membuka gerai jualan menyediakan pakej pelamin serta pakaian untuk perkahwinan dalam usaha menghadapi cabaran menjadi usahawan berjaya.


Pelajar jurusan elektronik, Mohd Ramadhan Mohd Yusof, 21, berkata, penganjuran karnival itu membolehkan dia mempromosikan perkhidmatan elektronik yang ditawarkan kepada pelanggan dan mahu membuktikan mutu kemahiran lulusan Giatmara turut setanding graduan pusat pengajian lain.