Khamis, 2 Februari 2012

Elaun suntik semangat bekerja Oleh: Wartawan Sinar Harian Tarikh: January 1, 2012


PESERAI – “Saya harap pihak yang berkenaan dapat memberikan elaun bulanan kepada pengerusi masjid dan surau sebagaimana yang diberikan kepada setiap imam dan bilal seluruh negeri,” kata Adun Semerah, Datuk Ariss Samsudin pada Majlis Pen­yam­paian Tauliah Pengerusi Masjid dan Surau Kawasan Dun Semerah di sini.

Ariss berkata, setelah men­jalankan tanggungjawab yang berat ini setiap pengerusi berkenaan perlulah diberikan penghargaan dan antara caranya ialah dengan memberikan elaun hasil penat lelah mereka ini.

Menurutnya, pengerusi adalah individu yang berbeza dengan seseorang imam atau bilal kerana peranan yang dimainkan adalah berbeza.

“Saya yakin dengan adanya elaun berkenaan ia akan membuatkan setiap pengerusi lebih bertanggungjawab kerana ia sebagai imbuhan atas kerja yang dilaksanakan mereka,” katanya.

Ariss berkata, tugas menjaga masjid dan surau itu bukanlah perkara yang mudah.

“Ia perlulah diurus tadbir dengan baik selain ia perlu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti untuk mengimarahkannya.

“Ketua yang dilantik mestilah komited laksanakan tugas dengan mendapat sokongan dan kerjasama daripada setiap jawatankuasa serta melaksanakan segala aktiviti sebagai satu pasukan.

“Setiap yang dilantik dalam jawatankuasa berkenaan pula perlulah menjalankan tanggungjawab dipikulnya dengan baik dan amanah serta sentiasa memakmurkan institusi terbabit.

“Paling utama ialah ketuanya, yang dalam negeri Johor ini dikenali sebagai pengerusi masjid atau surau, dan segala tanggungjawab yang diberikan ini adalah satu penghormatan kepada mereka,” katanya.

Katanya, diharapkan supaya rumah ibadat ini bukan sahaja menjadi sebagai tempat menunaikan solat, tetapi ia perlu diimarahkan dengan melibatkan setiap golongan termasuklah pemuda dan wanita.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Masjid dan Surau Dun Semerah, Samsi Rais.